top of page

LAWATAN BERPANDU DAN MENYAKSIKAN TEATER ’PATAH HATI’ DI ISTANA BUDAYA BAGI AHLI PUSPANITA CAWANGAN K

Tarikh : 10 Disember 2019 (Selasa)

Tempat : Muzium Diraja (Istana Negara Lama) & Istana Budaya, Kuala Lumpur

AJK Induk PUSPANITA Cawangan KPM telah mengadakan lawatan berpandu ke Muzium Diraja (Istana Negara Lama) dan menyaksikan Teater ’Patah Hati’ di Istana Budaya kepada warga PUSPANITA Cawangan KPM.

Program ini terbahagi kepada dua bahagian, lawatan berpandu ke sekitar Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I hingga XIII (1957-2011). Bangunan Muzium Diraja telah dibina sejak tahun 1928 dan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan kuarteras pegawai tentera Jepun, kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957. Seterusnya, bangunan ini dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan pembinaan Balairong Seri untuk upacara rasmi.

Program ini diteruskan lagi dengan membawa peserta untuk menyaksikan Teater ‘Patah Hati’ di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Seni teater adalah gabungan pelbagai cabang kesenian seperti tarian, lakonan, nyanyian, muzik seni visual dan multimedia yang semakin popular dalam menyampaikan mesej melalui hiburan di Malaysia. Persembahan secara langsung memberi impak yang lebih mendalam kepada penonton dalam menceritakan kisah yang ingin disampaikan.

Sebagai agenda penutupan gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2019, para peserta lawatan juga berpeluang menonton Teater Patah Hati hasil karya Antara Seni Perkhidmatan Awam (ASPA), Jabatan Perkhidmatan Awam dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan sejarah tanah air. Secara ringkasnya, teater ini mengisahkan tentang pergolakan yang berlaku dalam kalangan penduduk Tanah Melayu yang berhijrah ke Singapura. Keberadaan mereka di sebuah kabaret iaitu Lite Hours Cabaret telah dijadikan sasaran konflik oleh Diplomat Kanan British yang cuba mengekalkan kedudukan mereka di rantau Asia Tenggara dengan menguasai kawasan persisiran laut Singapura yang sesuai sebagai pusat maritim British.ilmu.

bottom of page