top of page

BENGKEL PENULISAN MINIT MESYUARAT

Tarikh : 28 Julai 2017

Tempat : Bilik PUSPANITA, Aras 3, Blok E8, KPM

Pengurusan mesyuarat yang berkesan memberikan impak positif kepada imej sesebuah unit, bahagian atau organisasi. Oleh hal yang demikian, kemahiran menguruskan mesyuarat yang berkesan penting untuk dipelajari bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, malah dalam kalangan ahli persatuan. Sehubungan dengan hal itu, Biro Dokumentasi dan Penerbitan telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Penulisan Minit Mesyuarat 2017. Bengkel yang julung kali ini diadakan untuk ahli PUSPANITA Cawangan KPM bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam penulisan minit mesyuarat yang berkualiti.


Bengkel tersebut memberikan tumpuan terhadap pengurusan minit mesyuarat dan teknik penulisan pelbagai jenis minit mesyuarat. Ceramah disampaikan oleh Puan Hasnah binti Mohd. Saleh, Munsyi Dewan. Antara maklumat penting yang disampaikan oleh penceramah termasuklah ciri minit mesyuarat, unsur minit mesyuarat, format minit mesyuarat dan laras bahasa Melayu dalam minit mesyuarat. Walaupun penyertaan bengkel ini terhad kepada 40 orang peserta sahaja, sambutan daripada ahli PUSPANITA Cawangan KPM amat menggalakkan.


bottom of page